Saturday, February 19, 2011

Tudung Oh Tudung (Siri 2)

Setelah sibuk dengan kerja akhirnya saya mendapat masa dan ilham untuk menulis. Ini pun setelah berborak dengan makcik yang mengadu jualan tudung yang dijual kurang mendapat sambutan di tempat kerjanya kerana ada pesaing yang membawa tudung dengan harga yang lebih murah. Walaupun murah tetapi kita perlu mengambil kira kenapa ada yang mahal dan ada yang murah.
Di sini saya ingin menceritakan tentang perbandingan antara jenis kain yang digunakan. Makcik mengadu ada pesaing yang menjual tudung di tempat kerjanya mempunyai lebih ramai pelanggan yang membeli berbanding dengan tudung yang dia jual. Rekaan bentuk sama tetapi jenis kain dan corak pada kain berbeza. Al maklumlah sesetengah orang berfikiran "Ala tudung dia jual RM 30 mahal berbanding yang sorang lagi baru RM 20. Jenis dan design tudung sama je...buat apa beli mahal-mahal." Di sini jenis kain yang memainkan peranan disamping kekemasan jahitan.
Sebenarnya, saya dulu pun tidak mengetahui apa perbezaan dan bak kata orang ikut suka hati membeli yang murah asal boleh digunapakai. Tetapi setelah mengenali dengan beberapa rakan dan tukang jahit yang menjahit dan menjual tudung samada yang berniaga secara sendiri dan juga ada kenalan dari beberapa butik terkenal di Malaysia saya kini dapat menilai harga yang berpatutan dengan jenis kain tudung yang dijual.
Kali ini saya lebih menekankan kepada jenis tudung arianni yang amat diminati kini.( Saya lebih gemar memanggil Tudung Express kerana pemakaian yang mudah.) Terdapat banyak jenis kain lycra dari kualiti paling rendah sehingga kualiti yang paling baik. Jika ada yang menjual tudung yang murah dengan harga yang rendah ini bermakna kualiti jenis kain dan kekemasan jahitan adalah kurang. Kualiti kain tersebut amat berbeza dengan kain yang berkualiti tinggi sebagai contoh kain yang berkualiti tinggi terasa sejuk semasa memakainya  walaupun dalam keadaan panas sedangkan kain yang berkualiti rendah membuatkan kita mudah berpeluh dan ada yang kainnya mudah berbulu selepas dibasuh beberapa kali serta warna semakin pudar dan lusuh.Manakala kain yang berkualiti tahan lama, sejuk, kelembutan kain yang berbeza dan warna masih bertahan walaupun dibasuh banyak kali.
Dari segi harga cadangan yang bersesuaian jika ingin membeli atau menjualnya, kualiti kain yang rendah ini harga tudung yang dijual dari RM 5 sehingga RM20 mengikut saiz, corak jahitan, tampalan batu dan labuh tudung. Manakala bagi tudung yang dari kualiti kain yang baik harga yang bersesuaian secara kasar di antara RM 30 sehingga RM 70 mengikut kriteria yang telah saya nyatakan tadi. Tetapi ada di antara butik yang menjual melebihi harga cadangan kerana penggunaan jenama terkenal, kos upah pekerja, pengiklanan, model dan lain-lain lagi yang perlu diambilkira.
Oleh itu, saya berharap pada semua agar menilai dengan sewajarnya keperluan masing-masing. Jangan hanya menilai dari segi harga tetapi menilai dari segala aspek sebelum membeli. Pembelian itu biarlah mengikut kemampuan dan janganlah terlalu membazir atau terlalu terburu-buru. Jika ada yang lebih berkemampuan tidak salah sekiranya anda ingin mencuba sesuatu yang berkualiti dan tinggi nilai disamping berjenama.Jika tanpa jenama pun tidak salah untuk dibeli dan dipakai. Mengikut kepada kemampuan dan pendapat individu masing-masing. Di masa akan datang kita bertemu lagi mengenai jenis tudung yang berlainan pula....insyaallah...-aisyah  

No comments:

Post a Comment